Aktiviti Black & Brown Resources Sdn. Bhd. Membangunkan Komuniti Orang Asli Ulu Kuang Selangor
Beberapa perkara telah, sedang dan akan digerakkan dalam membangun dan mengembangkan aktiviti serta menaikkan taraf kehidupan masyarakat orang Asli di Ulu Kuang.
1.Rumah Kraf:
Black & Brown dengan kerjasama masyarakat orang Asli akan membina rumah kraf untuk mengembangkan aktiviti seni kraf di kalangan masyarakat orang Asli.
Fungsi rumah kraf ini adalah untuk memberi peluang perniagaan kepada masyarakat orang asli dengan menghasilkan produk-produk kraf agar dapat dipasarkan melalui rumah kraf ini.
Ia juga bertujuan untuk megumpul dana selain memberi tambahan pendapatan kepada mereka. Mana-mana pihak yang berhajat untuk mendapatkan produk-produk kraf ini atau membantu memasarkannya bolehlah berurusan dengan Black & Brown.
2.Rumah anak-anak yatim orang Asli kampung Ulu Kuang:
Sekarang ini Black & Brown sedang merancang untuk membina rumah anak-anak yatim orang Asli kampung Ulu Kuang dengan kerjasama Surau Al-Hidayah.
Ia menjadi satu pusat pertama di negeri Selangor yang menempatkan anak-anak yatim orang Asli yang beragama Islam dan bukan Islam di seluruh daerah Gombak Selangor.
Antara fungsi rumah anak yatim ini ialah:
-Memberi kemudahan tempat tinggal kepada anak-anak yatim orang Asli.
-Memberi kemudahan pelajaran dan persekolahan yang lebih selesa dan sempurna.
3.Projek Menara Gading:
Projek Menara Gading ini memberi peluang kepada anak-anak yatim orang asli Ulu Kuang untuk melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat universiti.
Projek ini mengharapkan semua pihak untuk membantu dari segi bantuan kewangan, material dan apa-apa perkara yang difikirkan sesuai untuk membantu mereka mencapai cita-cita.
4.Kedai Runcit
Satu majlis memaklumkan niat untuk membuka kedai runcit telah selamat diadakan pada 9 Disember 2004 bertempat di surau Al-Hidayah Kampung Orang Asli Ulu Kuang.
Kedai runcit ini akan diusahakan dengan kerjasama Black & Brown dan surau Al-Hidayah untuk mengumpul tabung bagi membangunkan surau dan komuniti orang Asli.
5.Majlis penyerahan sumbangan:
Sempena majlis memaklum niat membuka kedai runcit, telah disempurnakan majlis penyerahan sumbangan pakaian dan pinggan mangkuk kepada masyarakat orang Asli Ulu Kuang.
Mana-mana pihak yang berhajat untuk memberi sumbangan dalam bentuk kewangan, pakaian, barang-barang runcit dan sebagainya bolehlah berurusan dengan Black & Brown.